KPS asas: memerhati

  Pada 23/1/2014 (Khamis), Jabatan Sains Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek, Negeri Sembilan telah menganjurkan sebuah program komuniti untuk 28 orang murid tahun 6 di 5 buah sekolah terpilih iaitu SK LB Johnson, SK Jijan, SK Gadong Jaya, SK Kompleks KLIA & SJKT Ladang Kubang.
  Bertemakan kemahiran proses sains (KPS) secara pembelajaran kontekstual, KPS pertama yang dijalankan ialah memerhati.


KPS memerhati: Proses mengumpul maklumat tentang objek / fenomena menggunakan sebahagian / kesemua deria.



Deria
Organ terlibat
Lihat
Mata
Hidu
Hidung
Rasa
Lidah
Sentuh
Kulit
Dengar
Telinga





Keistimewaan mengaplikasi pembelajaran kontekstual dalam aktiviti KPS memerhati ialah kerana ia sangat hampir dengan diri murid. Apabila konsep sains diterapkan secara kontekstual murid akan mudah ingat sesuatu tajuk kerana ia dikaitkan dengan pengalaman hariannya. 



Sebagai contoh untuk KPS memerhati, murid tidak disuapkan dengan kuliah daripada guru sebaliknya murid dibekalkan sepotong kek dan diminta mengenalpasti apakah bahan yang mungkin wujud dalam kek tersebut melalui deria rasa, hidu mahupun sentuh mereka. Murid dibiarkan meneroka kemahiran memerhati dan menyenaraikan bahan yang telah dikenalpasti dalam lembaran kerja yang disediakan. 



Selepas itu, murid ditayangkan video cara membuat kek supaya mereka dapat menyedari bagaimana bahan asas seperti telur, tepung gandum, lobak merah, minyak sayuran, krim keju dan sebagainya dibakar dan menjadi sebiji kek lobak merah. 



Murid turut diajukan soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seperti adakah kek tersebut berkhasiat? Berikan alasan anda. Ternyata pelbagai jawapan yang diterima seperti tidak berkhasiat kerana mengandungi lemak dan minyak. Ada juga yang menjawab berkhasiat kerana mengandungi lobak merah yang baik untuk mata.

Program seumpama ini dilaksanakan untuk menimbulkan rasa seronok sewaktu belajar sains dan memberi kesan mendalam kepada murid kerana maklumat disampaikan dalam konteks yang pelbagai. Kebanyakan murid belajar dengan berkesan melalui pengalaman penglibatan peribadi, aktiviti hands-on dan peluang untuk penemuan kendiri. Pembelajaran menjadi lebih bermakna apabila konsep disampaikan dalam konteks hubungan yang tidak asing kepada murid. 

Jabatan Sains IPG KPT berhasrat menjadikan program ini sebagai aktiviti tahunan selepas dirintis bersama-sama murid tahun ini.  Blog ini diterbitkan untuk rujukan para guru dan murid secara percuma. Diharap sumbangan seumpama ini mampu meningkatkan penguasaan kemahiran dan prestasi murid serta meringankan beban guru dalam usaha mencari idea :D




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Mendefinisi secara operasi

Membuat inferens

MENGEKSPERIMEN